KERANA kasih pada isteri kesayangan, penyanyi, Mohd Suhaimi Saad, turut berpantang dan hanya menikmati hidangan wanita selepas bersalin.
‘Bukan apa, saya rasa tidak selesa makan makanan lain kerana terlalu kasihan padanya,’ akui Suhaimi, 28 tahun, kepada akhbar Harian Metro.
Suhaimi dan isterinya, Nordiana Md Naim, 24 tahun, menyambut kelahiran bayi sulung mereka, Ehmad Hadie Alfardie, pada 25 April lalu.
Menurut Suhaimi, pengalaman bersama Nordiana atau lebih mesra dengan panggilan Ina, pada saat melahirkan anak dan menjaganya ketika berpantang adalah sesuatu yang amat bermakna.
‘Melihatkan keadaan Ina ketika hendak bersalin dulu, memang saya kasihan. Tetapi beliau isteri yang baik dan taat pada agama.
‘Sepanjang mengandung, beliau rajin membaca Al-Quran dan saya sendiri malu apabila jarang mengaji sepertinya.
‘Sesungguhnya berkat daripada Tuhan bila saya tanya pada Ina, beliau memaklumkan tidak merasai kesakitan yang teruk.
‘Malah, saya juga sanggup mencarikan air zam- zam dan kurma untuk Ina makan bagi memudahkan proses kelahiran,’ ujar Suhaimi.
Ina pula bersyukur kerana ditemukan dengan lelaki sebaik Suhaimi, yang juga bekas anggota kumpulan nasyid, In-Team, yang juga guru vokalnya.
‘Sebagai ibu bapa yang tidak ada pengalaman, saya dan suami sentiasa membantu antara satu sama lain. Alhamdulillah semua berjalan lancar.
‘Kami semakin boleh menyesuaikan diri dan saya bersyukur Suhaimi banyak membantu.
‘Kalau saya kurang sihat, beliau (Suhaimi) akan memasak, mengemas, membasuh pakaian dan menjaga anak. Mujur ada dirinya. Kalau harap saya seorang tidak tahulah macam mana.
‘Bahkan saya balik ke ibu kota selepas berpantang sebulan di kampung. Dalam tempoh itu, beliau yang menjaga. Ternyata kami melalui apa saja bersama dan saling membantu,’ kata Ina.
Ina, yang sebelum ini terlibat dalam kemelut percintaannya dengan juara Akademi Fantasia 3, Asmawi Ani atau lebih dikenali sebagai Mawi, kini tampak bahagia hidup berkeluarga.
Bagi Suhaimi, agak sukar untuk dirinya membuat keputusan meninggalkan kerjanya sebagai guru di sebuah sekolah agama di Kuantan, Pahang.
Tetapi beliau tidak boleh melakukan dua kerja serentak.
Kerjaya sebagai penyanyi menuntutnya berada di Kuala Lumpur tetapi pada masa yang sama, beliau bekerja di Kuantan, lapor akhbar Mingguan Malaysia.
Akhirnya, Suhaimi terpaksa memilih untuk meneruskan kerjaya dalam bidang seni kerana minat itu sudah tertanam sejak sekian lama.
No comments:
Post a Comment