|
|
Jika diikutkan, mahu sahaja dia berpindah ke sebuah lagi rumahnya yang terletak di Shah Alam, Selangor untuk memulihkan kembali semangatnya agar dia mampu meneruskan kehidupannya seperti sedia kala.
Namun dia sedar, tiada gunanya dia berpindah rumah, seandainya jiwanya tidak diubati dan masih lagi terbayang-bayang akan kejadian yang menimpanya sehingga dia dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selama dua hari.
"Untuk itu, selepas ini, saya akan cuba berubat secara tradisional untuk memulihkan kembali semangat saya dan saya juga mahu terus bekerja.
"Sejak kejadian yang menimpa saya tempoh hari, saya terpaksa melepaskan beberapa persembahan terutama persembahan yang melibatkan istana.
"Mujurlah mereka faham dengan keadaan saya dan saya juga sedar bahawa ini semua dugaan dan cabaran untuk saya.," demikian cerita Nassier sewaktu ditemui di rumahnya yang terletak di USJ baru-baru ini.
Menceritakan trauma yang dialaminya, Nassier memberitahu, beberapa hari selepas kejadian buruk itu berlaku, ada satu ketika rumahnya bergelap secara tiba-tiba.
"Pada waktu itu, hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana saya rasa dan debaran serta ketakutan sudah mula menyelubungi diri saya sehinggakan saya menjerit. Kemudian, barulah saya tahu, rupanya bukan rumah saya sahaja yang bergelap tetapi seluruh kawasan perumahan saya.
"Bukan itu sahaja, saya juga kini begitu sensitif terhadap bunyi yang walaupun bunyi itu hanyalah kecil sahaja," ceritanya lagi.
Pada waktu kejadian, isterinya, Fatimah Abd. Rauf dan anak mereka, Intan Najihah tiada di rumah dan Nassier sememangnya cukup bernasib baik kerana ada jirannya yang sanggup menolongnya memadamkan kebakaran seterusnya membawanya ke hospital.
Berikutan itu, Nassier mengalami kecederaan di kedua-dua belah tangannya manakala kedua belah kakinya pula melecur.
Penyanyi yang cukup popular dengan lagu Sekali Aku Jatuh Cinta dan Memori Cinta Luka ini juga tidak putus memanjatkan kesyukuran apabila kesihatannya kini semakin pulih.
Namun begitu, atas nasihat doktor, dia dikehendaki untuk berehat dalam tempoh sebulan untuk memastikan dirinya benar-benar sihat sebelum dia mampu meneruskan aktiviti seninya seperti sedia kala.
Dalam kesedihan yang dialaminya itu, dia masih lagi mampu melemparkan senyuman saat rakan-rakan baiknya seperti Salwa Abdul Rahman, Jaafar Onn, Azlina Aziz, Rohana Jalil dan Noryn Aziz sempat meluangkan masa melawatnya.
Malah, penyanyi veteran, Datuk Ahmad Jais juga katanya, menziarahinya sewaktu dia berada di ICU.
Kejadian yang menimpa Nassier juga turut mendapat simpati Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) apabila pengerusinya, Freddie Fernandez turut menziarahi penyanyi itu dan menyumbangkan RM1,000 buat penyanyi itu.
"Sumbangan kami ini tidaklah sebesar mana. Lagipun, apabila kejadian seperti ini menimpanya, maka, wajarlah diberi bantuan.
"Malah, Nassier merupakan orang kuat Karyawan dan tidak pernah gagal untuk menghadiri mana-mana pertunjukan yang kami adakan," kata Freddie sambil disambut dengan senyuman Nassier tanda terharu dengan bantuan yang dihulurkan.
No comments:
Post a Comment